Pages

Teknik Mudah Membina Pelanggan Berulang di Facebook



Dalam perniagaan, sama ada perniagaan offline ataupun online, formula yang jarang didedahkan adalah memaksimakan keuntungan melalui pelanggan sedia ada. Menjual kepada mereka adalah lebih mudah berbanding mendapatkan pelanggan baru.

Selain mempromosikan produk kepada pelanggan baru, kita juga perlu terus berkomunikasi dengan pelanggan-pelanggan sedia ada. Persoalannya, bagaimana?

Sebelum itu, anda perlu menjual produk yang sesuai. Untuk memastikan pelanggan sedia ada membuat pembelian lagi dan lagi, serta berterusan dengan konsisten, produk yang dijual harus sesuai.

Anda perlu menjual produk yang “pakai habis buang”.  Setelah pembeli habis menggunakan produk itu, mereka perlu beli lagi. Contoh produk sebegini adalah seperti makanan dan produk kesihatan.

Anda juga boleh menjual banyak produk sama jenis (kategori). Contohnya, selain anda menjual karipap segera di Facebook Page, anda juga menjual serunding daging, dodol dan sebagainya. Semua produk itu adalah dalam kategori yang sama iaitu makanan.

Contoh lain pula adalah seperti menjual pelbagai jenis tudung. Terdapat pelbagai jenama, warna dan jenis kain. Sudah pasti pelanggan yang membeli tudung jenis A, pada satu hari nanti mereka akan membeli tudung jenis B pula.

Baik, teknik mudah yang dimaksudkan pada tajuk artikel ini adalah Facebook Group. Wujudkan sebuah Facebook Group khas untuk pelanggan anda. Masukkan (add) mereka ke dalam group itu, atau minta mereka klik pada “Join Group”.

Seni Komunikasi dengan Pelanggan Sedia ada

Setelah kita masukkan mereka ke dalam group khas itu, kita perlu berinteraksi dengan cara yang berbeza, tidak sama seperti saat permulaan mereka membeli daripada kita. Cara perbualan, tulisan dan jawapan harus lebih ‘mesra’. Elakkan bahasa yang mengarah-arah dan meletak mereka sebagai pelanggan semata-mata. Anggap mereka sebagai ‘kenalan’.

Bina satu komunikasi yang harmoni bersama mereka tanpa terlalu kerap menjual dan membuat promosi. Apabila ingin membuat promosi di group tersebut, tulis ia dalam bentuk “soft” seperti ‘Ada stok produk A baru masuk. PM saya kalau mahu tempah ya. ;) ’. Elakkan promosi yang “hard” seperti ‘beli sekarang’ atau ayat-ayat yang ‘menakut-nakutkan’ mereka.

Pelanggan sedia ada adalah aset paling penting bagi kita. Mereka perlu dilayan dan dijaga dengan baik agar selain mereka terus membeli daripada kita, mereka juga akan mencadangkan produk yang kita jual kepada rakan-rakan mereka yang lain. Ini berlaku setelah mereka berpuas hati dengan layanan dan komunikasi baik yang kita berikan kepada mereka.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...