Setiap perniagaan mempunyai pengemudinya, iaitu usahawan. Untuk memastikan sesebuah perniagaan, produk dan jenama bisnes dikenali ramai, pengemudi itu perlu melakukan sesuatu, iaitu promosi. Promosi ada banyak jenis seperti promosi terang-terangan dan promosi secara halus.
Seorang usahawan yang dikenali dengan hati budi yang baik,
suka berkongsi ilmu dan membantu usahawan lain, akan mula dikenali dan
dipercayai ramai sedikit demi sedikit. Soalnya, bagaimana cara melakukannya?
Boleh dikatakan kebanyakan usahawan telah mempunyai akaun
Facebook masing-masing. Adalah amat rugi jika kita sebagai usahawan tidak
mempelbagaikan cara pemasaran di Facebook.
Artikel ini akan mendedahkan satu kaedah yang boleh dilakukan
di Facebook, iaitu dengan menggunakan Group. Group (komuniti) adalah satu ruang
berkumpulnya pengguna Facebook yang mempunyai minat yang sama.
Berikut adalah cara-caranya:
1. Guna nama sebenar di Facebook
Seorang usahawan harus telus di medan media sosial seperti
di Facebook. Menggunakan nama samaran boleh, tetapi ia sedikit berisiko. Orang
lain akan menganggap kita ada niat yang tidak baik. Pelanggan dan pembeli hanya
mahu berurusan dengan orang yang telus sahaja. Begitu juga kita, sama sekali
‘takut’ untuk membeli barang daripada orang yang menggunakan identiti palsu.
2. Gunakan gambar sebenar atau gambar yang elok
Gunakan gambar yang sebenar. Elakkan menggunakan
gambar-gambar seperti bunga, kartun dan seumpamanya, kerana ia tidak
profesional dan tidak mencerminkan kita sebagai seorang usahawan.
Jika boleh, letak foto yang terkini. Bagi usahawanita
(wanita Islam) yang tidak mahu mendedahkan gambar sebenar atas sebab privasi,
boleh gunakan logo bisnes. Elakkan meletak gambar produk. Manakala bagi lelaki,
setakat ini tiada alasan kukuh untuk tidak mendedahkan foto sebenar.
Kelebihan meletak foto sebenar di Facebook profile adalah,
prospek dan pelanggan semakin mempercayai dan meyakini kita.
3. Join group yang berkaitan sahaja
Group apakah yang perlu disertai? Bagaimana cara menyertai
sesebuah group? Berapa banyak group yang perlu saya sertai?
Anda sertai group yang berkaitan dengan perniagaan dan juga
bidang jualan anda. Untuk group berkaitan perniagaan, di sana terkumpul ramai
usahawan. Kita boleh berkenalan dengan mereka dan bina kredibiliti di sana
sebagai usahawan yang boleh sama-sama berkongsi pengalaman.
Manakala group berkaitan bidang jualan, katakan anda menjual
pakaian, maka sertai group yang berkaitan dengan pakaian. Kongsikan tip-tip dan
panduan yang berkaitan pakaian.
Untuk menyertai group, kita boleh mencari group dengan
menggunakan fungsi carian (search) di Facebook. Masukkan perkataan berkaitan
dan klik search. Kemudian klik pada Groups. Anda akan disenaraikan dengan group
yang boleh disertai.
Selain itu, gunakan juga fungsi carian Group di sini: https://www.facebook.com/findgroups
Anda tidak perlu menyertai banyak group. Pilih group yang
aktif dan lebih menumpu kepada perbincangan dan perkongsian. Tidak kisah group
itu ramai ahli ataupun tidak, yang penting adalah kualiti ahli group. Elakkan
group yang memfokus kepada iklan semata-mata.
4. Gunakan gambar atau imej
Untuk menjadikan perkongsian anda di group lebih menarik
perhatian ahli group, gunakan imej ataupun foto yang sesuai dan berkaitan.
Contohnya, jika anda berkongsi tentang bisnes offline anda, sertakan sekali
gambar kedai anda.
5. Penulisan dalam bentuk tip
Tidak perlu menulis terlalu panjang di group. Penulisan
dalam bentuk senarai tip adalah lebih digemari berbanding penulisan yang agak
panjang lebar.
6. Perkongsian pengalaman sebenar
Selain berkongsi fakta dan ilmu dalam bentuk tip/panduan,
ahli group juga amat suka dengan perkongsian pengalaman sebenar. Berikan
inspirasi dan motivasi kepada mereka tanpa menyuruh mereka bermotivasi, tetapi
kongsikan cerita yang memberi mereka suntikan semangat.
7. Berikan komen positif
Apabila berkomuniti di group, sikap bertolak ansur adalah
amat penting. Selain berkongsi, kita juga perlu memberikan komen yang positif
kepada ahli lain apabila mereka berkongsi tip, panduan dan pengalaman. Ucapkan
juga terima kasih, tahniah dan sebagainya. Jika kita tidak tahu untuk komen,
elakkan berikan komen agar tidak ada ahli yang terluka.
0 comments:
Post a Comment